KUALA TERENGGANU 1 Dis. - Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak hari ini terpaksa ditutup menyebabkan semua urusan pentadbirannya lumpuh berikutan banjir melanda kawasan itu sejak awal pagi ini.
Pihak pengurusan universiti itu mengisytiharkan hari ini sebagai cuti bencana alam berikutan jalan masuk ke universiti ditenggelami air sejak awal pagi menyebabkan kakitangan tidak dapat memasuki bangunan untuk memulakan tugas mereka pagi ini.Hujan lebat yang bermula sejak pukul 1.30 pagi menyebabkan air naik setinggi 0.4 meter dalam tempoh sejam dan paras air kekal hingga tengah hari ini.
Bagaimanapun, tiada penuntut terlibat dalam banjir itu kerana sekarang ini mereka bercuti semester.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin ketika dihubungi berkata, pihak pengurusan UMT terpaksa mengambil tindakan sedemikian apabila laluan masuk ke universiti tidak boleh dilalui.
''Keadaan banjir ini menyebabkan 1,200 kakitangan UMT tidak dapat memasuki universiti menyebabkan pihak pengurusan mengambil keputusan mengisytiharkan cuti bencana alam hari ini," ujarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain UMT kira-kira 300 buah rumah di Perumahan Gong Badak 2 yang terletak berhampiran turut dilanda banjir kilat akibat hujan awal pagi ini.
Air yang naik setinggi paras paha itu menyebabkan beberapa penduduk perumahan berkenaan bertindak memecahkan tembok batu Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus KUSZA berhampiran bagi membolehkan air mengalir ke longkang.
No comments:
Post a Comment